Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr.
Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran
wajah Tun Siti yang paling indah yang saya lihat ialah ketika beliau memakai
telekung untuk solat. Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di IJN. Tun
Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. MasyaAllah, wajah Tun
Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah nenek saya yang sudah
kembali ke rahmatullah.
Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan
berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat
terhadap berbagai perkara khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan
rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah..
Jika kita masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana
Menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun
Siti. Wajahnya yang tidak sombong, gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya
dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi.
Ya! Ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa dengan penuh kemegahan pun
beliau tetap bersikap sebagai seorang isteri yang tidak menyibuk diri menjadi
‘menteri tambahan’. Orang tidak memperkatakan tentang sikap suka campur tangan
beliau dalam urusan politik, tidak beliau dibenci kerana berlebih-lebihan dalam
gaya dan cara. Tun Siti sangat sederhana sehingga sekarang. Saya sendiri pernah
mendengar Tun Mahathir bersungut kerana lama menunggu Tun Siti di kereta dan
cuaca agak sejuk. Ketika itu di London. Saya masih ingat jawapan Tun Siti: “ada
orang hendak bercakap dengan kita, takkan kita hendak tinggalkan”. Masa itu ada
rakyat Malaysia di London yang datang berbual dengan Tun Siti ketika beliau
hendak turun dari Malaysia Hall.
Saya kagum dengan Tun Siti sebab setiap kali saya
berkesempatan berbual dengan Tun Mahathir, samada di meja makan atau di tempat
biasa, Tun Siti yang selalu berada di sebelah Tun Mahathir tidak pernah
mencampuri perbualan kami khususnya tentang politik. Beliau selalu menjadi
pendengar setia kepada Tun Mahathir. Jika ada pun beliau mencelah, beliau akan
bertanya khabar keluarga saya atau pandangan agama tentang urusan harian.
Sekalipun beliau sebenarnya tidak pernah berjumpa keluarga saya. Tun Mahathir
bertuah mendapat isteri yang tahu apa perwatakan yang sewajarnya dan tidak
dianggap ‘busy body’ bagi negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Maka tidak hairanlah ketika Tun Mahathir berada dalam ketegangan krisis politik
beliau, Tun Siti tidak menjadi sasaran kemarahan musuh-musuh politik Tun
Mahathir. Hanya yang bermulut celupar sahaja yang cuba mengguris Tun Siti yang
selalu diam itu. Itu pun puak yang suka menyentuh urusan peribadi orang yang
tidak kaitan dengan kepentingan umum rakyat.
Begitu lama Tun Mahathir di tampok kuasa. Tun Siti tetap
bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising
campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita ‘kegarangannya’ kepada
pihak sana dan sini. Beliau hanya tersenyum dan merendah diri. Bahasanya tidak
bongkah, gayanya tidak berlagak. Tidak banyak cerita di media tentang dirinya,
sehingga melebihi suaminya. Namun, sebagai insan tentulah ada kekurangan dan
kelemahan di sudut-sudut tertentu. Demikianlah semua manusia.
Seorang pemimpin memerlukan isteri yang ‘tidak menyibuk’
seperti Tun Dr Siti Hasmah. Walaupun sangat terpelajar, tetapi tahu membawa
diri sebagai isteri pemimpin. Setiap isteri pemimpin mesti pandai menjaga
maruah suaminya. Pandai menjaga nama baik politik suami. Jangan sampai suami
dibenci rakyat kerana gaya dan sikap isterinya. Ertinya, jangan sampai rakyat
membenci seseorang pemimpin ‘pasal bini dia’. Buat semua isteri pemimpin,
jadikanlah Tun Siti Dr Hasmah sebagai contoh yang baik dalam hal ini! Jangan
lebih lajak dari laju, rakyat tak suka perangai macam itu!
Peranan isteri berdoa agar suami berada di jalan yang benar.
Menasihati suami agar sentiasa ingatkan Allah dalam urusan rakyat. Janganlah
isteri pula yang menyebabkan kemurkaan Allah dan kemarahan rakyat kepada
suaminya..Tun Dr Siti Hasmah, tahniah!
Sumber: Dr. MAZA
No comments:
Post a Comment