Kerana rindu, kami lalui dunia ini menyantuni sunnahmu, demi satu senyuman daripadamu, ya Rasulullah.
"Mak, saya lapar," anak tunggal saya mengadu. Saya hanya mampu melihat, memegang erat bahunya. Apakah yang dia tahu? Dia masih anak kecil. Saya rasa bersalah kerana tidak semena-mena anak kecil ini menjadi mangsa keadaan.
Saya berusaha memujuk, "Sabar, ya. Ibu tidak ada duit. Bagaimana kita mahu makan?" Deraian air mata meluncur laju.
Kawasan perumahan tempat tinggal kami ini bukan kawasan setinggan, bukan pula empat orang tidak berduit. Tetapi kematian suami saya yang mengejut memberi kesan kepada hidup saya anak-beranak. Tiada apa yang diwariskan. Semua simpanan dan harta lain terpaksa dijual bagi membayar hutang. Hanya tinggal rumah ini. Namun, apa gunanya. Mungkin rumah ini pula terpaksa digadai. Kusut. Kerungsingan yang tidak terluah.
Mahu diminta bantuan jiran, mereka tidak pernah mengambil tahu langsung perihal kami. Biasalah perumahan besar seperti ini rata-rata tidak mahu langsung mengambil tahu hal ehwal jiran di sekeliling mereka. Termasuk saya juga.
Selama ini, saya bergantung hidup pada suami semata-mata. Saya makin buntu. Saya sanggup menahan lapar. Tetapi, bagaimana pula anak kecil saya? Dia masih naif.
Tiba-tiba jkami dikejutkan oleh ketukan pintu. Saya berlari membukanya. Seorang lelaki tua sedang tercegat di hadapan rumah sambil tersenyum. "Puan Fatimah, saya tinggal selang 40 buah rumah puan. Rumah saya yang paling buruk sekali di perumahan ini. Saya mahu bertanya adakah puan perlukan apa-apa bantuan?" kata lelaki itu.
Saya terus menjawab. "Ya, saya sangat perlukan bantuan. Anak saya ini sudah beberapa hari tidak makan. Dapatkah tuan menolong saya?"
Lelaki tua itu memandang sayu. "Sebentar lagi saya datang semula, saya bawa sekali barang-barang dapur."
Selepas 20 minit, lelaki tua itu datang semula bersama seorang perempuan tua.
"Ini isteri saya, Mak Jah. Ini sedikit barang keperluan untuk puan selama seminggu. Sekiranya tidak cukup, beritahu sahaja kami," kata lelaki tua itu sambil menghulurkan barang-barang dapur.
Menitis air mataku melihatkan betapa baiknya budi manusia yang tidak pernah kenal akan diri ini.
"Pak cik dan makcik, mengapa baik sangat kepada keluarga saya?"
"Anak, kami hanya menyempurnakan hak kami," kata Mak Jah sambil menguntum senyuman.
"Hak apa mak cik?" saya terpinga-pinga.
:Hak sebagai jiran. Kebetulan rumah anak ini adalah rumah yang ke-40 dari rumah kami. Kami cukup lega dapat menunaikan amanah ini," luah Mak Jah.
"Nabi Muhammad berpesan, kita perlu menjaga hak jiran. Ia adalah satu daripada tanggungjawab sebagai Muslm," tambhanya lagi.
Air mataku berguguran. Sunggu mulia mereka ini. Pada masa bahagia, saya tidak pernah mempedulikan jiran-jiran di sekeliling saya.
"Ya Allah, ampuni diri ini."
Ps: mengambil tahu hal orang lain dalam batasan yang perlu mungkin sahaja mampu menyelamatkannya dan mengeluarkan mereka daripada masalah yang menimpa.
No comments:
Post a Comment