SUDAHKAH kau lupa atau “masihkah kau ingat?” Dalam suram malam dan sepi pagi saya sering terngiang lirik begini. Lirik peribadi ini menggema nyaring mengiringi irama usia yang beransur genting. 75 tahun—bakal 76 tahun April depan—adalah usia iktibar. Dipuji orang terasa malu; diperli orang cepat pilu. Jadi, sudahkah kau lupa atau “masihkah kau ingat?”
Dalam usia sebaraqah ini mestikah kita mendampingi kawan hanya ketika mewahnya atau ketika dirinya segak berkuasa? Dan, mestikah mendadak pula kita melupakannya ketika gilirannya melorot dari tangga kuasa?
Dalam suram malam dan sepi pagi lirik iktibar ini saya cermati.
Saya dapati buana kuasa sangatlah anehnya. Teman yang suatu waktu beradab sopan tiba-tiba berobah menjadi badak terjahan. Mereka yang dulunya arnab yang jinak di sisi perigi budaya tiba-tiba menjadi singa garang di sisi dana kuasa. Kawan cepat menjadi teman; teman cepat berubah musuh. Kerana itu, saya cuba tekun meneguk hikmahnya.
Sudahkah kau lupa atau “masihkah kau ingat?” Lirik sufis yang boleh mendidik dan menginsafkan. Pada saya, kita wajar berdiri di sisi teman ketika segaknya, juga ketika lemahnya. Saya sering teringat kata-kata guru saya, Miss Su: “Right or wrong a friend is a friend” (dalam bahasa PPSMI, kerana Miss Su memang guru bahasa Inggeris saya di SMC!) Kini tampaknya tidak ramai yang berpendirian begitu.
Jelas sekali, kini yang ramai hanya kawan ketawa. Tidak lagi ramai kawan yang berpendirian “right or wrong he is my friend!” Mungkin kerana kita sudah terlalu bersiasah atau sangat berniaga.
Kerana demikian iklim persahabatan—juga permusuhan—maka mudah berlakulah sindir-menyindir. Kita tergamak memanggil “bekas” teman: pengkhianat. Kita tergamak juga memberi pelbagai gelaran cemar kepada bekas teman siasah. Kita terlalu menjadi diri sendiri—singa yang terlupa mutu diri.
A. Samad Said
2 comments:
SUKA LAGU TU :D
yeahh, lagu ni sgt puitis bukan? :)
kopratasa <3
Post a Comment