Thursday, March 15, 2012

Anuar Zain: Sebuah Meja RM100, 000


KUALA LUMPUR – Anuar Zain boleh dikatakan antara penyanyi yang mengenakan bayaran jualan meja paling mahal apabila mengenakan harga sehingga RM100,000 untuk sebuah meja dengan 10 tempat duduk pada persembahannya pada 12 Mei ini.
Pada persembahan bertajuk Mother’s Day Gala Night With Anuar Zain sempena sambutan Hari Ibu yang akan diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, penyanyi berusia 42 tahun dan masih bujang itu akan menghiburkan para penonton selama kira-kira 45 minit.
Menurut pengajur persembahan, Dream Music Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Fauzi Zakaria, konsert itu bukan setakat bertujuan menghiburkan golongan ibu dan juga para peminat Anuar Zain tetapi juga untuk tujuan amal.
“Kami juga akan menghulurkan sebahagian daripada kutipan daripada jualan meja itu kepada Persatuan Ibu Tunggal Malaysia. Selain jualan meja berharga RM100,000, jualan meja-meja yang berharga RM40,000, RM20,000 dan RM10,000 juga disediakan,” katanya.
Pada sidang akhbar yang diadakan semalam di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay di sini semalam, Anuar Zain yang antaranya popular dengan lagu seperti Lelaki Ini berkata, selain jualan meja para peminat juga boleh membeli tiket setiap seorang dengan harga RM1,000, RM600 atau RM500.
Jelas adik kepada penyanyi Ziana Zain ini, meskipun ada pihak yang beranggapan harga tiket itu agak mahal tetapi itu tidak bermakna dia terlalu memandang kepada wang ringgit semata-mata, sebaliknya para peminat yang kurang mampu juga berpeluang menonton persembahannya.
“Biasanya setahun sekali saya akan mengadakan persembahan khas untuk para peminat saya di mana saya hanya akan mengenakan bayaran sekitar RM40 sahaja. Itu pun untuk bayaran makan sahaja bagi menonton persembahan saya yang diadakan setahun sekali.
“Bagaimanapun sudah lama juga saya tidak buat persembahan sebegitu. Pada persembahan itu, para peminat berpeluang menonton persembahan saya sambil makan dan berbual-bual dengan saya dalam acara yang diadakan lebih kurang empat jam lamanya,” ujarnya.
Para peminat terutamanya syarikat-syarikat koporat yang berminat untuk menyaksikan persembahan Anuar Zain sempena sambutan Hari Ibu itu sila hubungi talian 03-21711220 atau layari laman sesawang www.dreammusic.com -SUMBER

No comments: